Saturday, 2 March 2013

Salleh Yaakob "Tak berminat lagi"


“Jiwa saya tidak lagi tertarik dengan kehidupan sebagai artis dan saya memang berhasrat untuk tidak lagi terbabit dalam bidang seni termasuk sebagai penyampai radio.
“Hasrat ini sudah saya pendam sejak 2011 lagi, tetapi terpaksa melengahkan hasrat itu kerana beberapa masalah,” kata pelawak dan penyampai radio Sinar FM, Salih Yaakob, 52.

Menurutnya, keinginan untuk bersara daripada bidang seni kini semakin kuat apabila dia dikecam segelintir pihak berikutan klip video berunsur politik yang dilakonnya bersama di Youtube, minggu lalu.

Bagaimanapun, Salih yang bergelar anak seni sepanjang 33 tahun berkata, klip video itu bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan dia ingin bersara tetapi dia juga kini mahu memberi lebih tumpuan pada perniagaan dan keluarga.

Kata Salih, atas faktor umur juga, dia mahu memperbanyakkan amal ibadat selain menyempurnakan tanggungjawab terhadap empat isteri dan 11 anaknya.

“Memang sedih membuat keputusan sebegini tetapi apakan daya, itu keinginan yang saya mahukan,” katanya.

Kata Salih, dia berharap untuk bersara namun hasratnya terhalang kerana masih memiliki kontrak bersama Sinar FM sehingga penghujung tahun ini.

“Saya akui masih menerima bayaran RM32,000 sebulan tidak termasuk bonus. Kontrak bersama Sinar FM masih ada, kalau saya berhenti mungkin saya dikenakan denda sehingga ratusan ribu ringgit.

“Sekarang ini terpulanglah kepada stesen radio itu,” kata Salih memaklumkan sudah menolak banyak tawaran program TV kerana tidak lagi berminat.

Katanya, biarpun bergelar anak seni, kali terakhir dirinya membintangi drama dan lakonan adalah pada 1993 dan selepas itu hanya terbabit persembahan lawak serta pengacaraan.

“Kecaman yang saya terima berikutan pembabitan dalam klip video itu mungkin petunjuk Tuhan untuk saya menamatkan kehidupan sebagai anak seni,” katanya.


Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment