![]() |
Datuk Seri Rais Yatim |
MENTERI Penerangan, Komunikasi danKebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini meluangkan masa kira-kira satu jam menziarahi seniman negara Tan Sri Dr Jins Shamsuddin di kediamannya di Kampung Pasir, Hulu Kelang dekat Kuala Lumpur.
Rais yang tiba bersama isteri Datin Seri Masnah Rais turut menyerahkan sumbangan RM5,000 kepada bekas senator Dewan Negara itu, yang kini menghidap penyakit alzheimer sejak dua tahun lepas.
Jins Shamsuddin kini berusia 77 tahun.
Sumbangan itu adalah daripada Tabung Kebajikan Pengiat Seni, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2009, bertujuan menjaga kebajikan seniman dan seniwati negara.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Md Afendi Hamdan serta beberapa artis veteran, antaranya Datuk Aziz Sattar, Datuk Mustapha Maarof dan Mariani.
![]() |
Jins Shamsudin |
"Salah satu khidmat beliau kepada filem tanah air ialah semasa kita membentuk Persatuan Seniman, kita sama-sama menentukan kepentingan persatuan itu, di samping menetapkan Hari Seniman pada 29 Mei," katanya.
Rais juga berkata semua filem lakonan Jins Shamsuddin akan disiarkan semula di saluran RTM pada waktu yang akan ditetapkan kemudian, bagi mengenang semula bakat dan jasa beliau dalam industri itu.
Jins Shamsuddin kini banyak meluangkan masa di rumah dan dijaga rapi oleh isterinya Puan Sri Halijah Abdullah, 52, dan dua orang anak lelaki, Hang Nadim dan Hang Jebat. - Bernama
No comments:
Post a Comment